Masyarakat di Negara kita terdiri daripada
pelbagai kaum dan agama. Setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya yang unik dan
warisan budaya tersendiri. Contohnya terdapat perbezaan antara tarian, muzik,
bahasa dan dialek yang digunakan oleh pelbagai kaum. Seni tari merupakan sebahagian
daripada budaya kita. Dalam masyarakat tradisional, tarian dipersembahkan
semasa majlis keramaian. Budaya ini wujud sehingga ke hari ini.
Walaubagaimanapun, terdapat tarian tradisional yang diubah suai mengikut
perkembangan semasa. Tarian biasanya diiringi dengan muzik. Alat-alat muzik
terdapat dalam pelbagai jenis dan berbeza mengikut kaum.
Tarian yang dipersembahkan dari setiap kaum mempunyai asal usul dan tujuan
tersendiri.
Sebagai contoh tarian mak yong, zapin, gamelan, asyik, kathak, bhrata
natyam, singa, kipas, ngajat dan sumazau.
TARIAN MAK YONG
Mak Yong atau Makyung merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama
tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang
menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal
dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.
Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu , Patani, Kelantan,
Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.
Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan.
Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai
pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan
itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan
yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.
Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab"
diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu
dipersembahkan merentasi beberapa amalam dalam siri pertunjukkan tiga jam.
Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang
berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang
ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala
dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya
berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong
di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk
melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.
TARIAN ADAI-ADAI
Tarian traditional bagi suku kaum Brunei yang berdasarkan pada kehidupan
kaum nelayan. Tarian ini mengisahkan cerita kumpulan nelayan pergi menangkap
ikan di laut manakala kaum wanita menunggu kepulangan mereka di kawasan pantai
untuk membantu mengutip hasil tangkapan yang akan diperolehi.
Tarian Adai-adai ini biasanya ditarikan oleh pasangan empat lelaki dan
empat perempuan ini diiringi oleh pukulan rebana dan gambus serta nyanyian
dengan rentak hampir sama dengan rentak tarian zapin yang terdapat di
Semenanjung Malaysia. Tarian Adai-Adai biasanya diadakan semasa keramaian suku
kaum Brunei ataupun menyambut ketibaan orang-orang kenamaan. Penari-penarinya
juga memakai pakaian khas yang berwarna warni.Kadang-kala tiada alatan muzik
digunakan, sebaliknya bunyi yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh
di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung atau
keduit. Tarian ini sering dipersembahkan di majlis-majlis keramaian.
TARIAN BHARATA NATYAM
Tarian Bharata Natyam merupakan salah satu gaya tarian klassik India.
Tarian klassik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan
tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun
kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari
demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara
lengkap, penuh dengan kegemilangan.
Tarian ini berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India.
Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang
penari wanita.
Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat
di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana.
Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan
Nritya ( Tarian Ekspressi ).
TARIAN BOLAK-BOLAK
Tarian Bolak-bolak adalah tarian traditional suku kaum Suluk yang diiringi
dengan pukulan "gabbang" yang sering diadakan di majlis-majlis
perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain. Tarian Bolak-bolak dilakukan
oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna warni.
Penari menggunakan empat bilah kayu kecil jenis keras yang digenggam dengan
tangan, dua bilah kayu dalam satu tangan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan
bunyi sama rentak dengan pukulan kulintangan.
TARIAN DALING DALING
Tarian Daling-daling merupakan tarian traditional bagi suku kaum ?ajau dan
?uluk juga amat terkenal. Tarian Daling-daling ini biasanya dipersembahkan
dengan iringan pukulan "gabbang" dan gesekan biola dan nyanyian, kuku
tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari
wanitanya. Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakkan kaki yang khusus
penari-penarinya memperlihatkan keunikan tarian Daling-daling ini.
TARIAN KUDA KEPANG
Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional.
Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa
itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita
itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperperangan Rasulallah dan para
sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai
cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan
persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau
selepas persembahan.
Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya dari
berketurunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk
seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau
kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari
kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya,
semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk
mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis
keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang
kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa
dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan
kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.
TARIAN NGAJAT
Tarian Ngajat sangat popular dalam kalangan orang Iban di Sarawak.
Tarian Ngajat terdiri daripada beberapa jenis, antaranya ialah:-
1. Ngajat Induk
2. Ngajat Bebunoh
3. Ngajat Lesong
4. Ngajat Semain
5. Ngajat Berayah
6. Ngajat ““Ngemai antu pala”
Ngajat bagi orang-orang Iban ialah tarian semasa menyambut Hari Gawai
orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu
tarian tersebut ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.
Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju
burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung
merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit
haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.
Tarian ini ditarikan dengan berdiri atas bulatan langsaran ke atas dan ke
bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan
adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah
dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah'
sambil membawa tengkorak musuh.
Satu lagi jenis tarian ini ialah penari akan memegang perisai kayu di
tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan
musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.
Lagu iringan dibunyikan daripada alat-alat seperti gong besar dan kecil,
gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti
gitar.
TARIAN SINGA
Tarian Singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat
warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan
menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu
seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum,
manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa
tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas
yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman
mercun yang dikatakan akan membawa tuah.
Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia,
terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat
di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara
tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih
terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih
1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa
Utara" dan "Tarian Singa Selatan".
Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang
menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan
warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa
Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.
Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini
selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan
upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan
kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan
mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.
TARIAN SUMAZAU
Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal
di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum
Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari
Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.
Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang
yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai.
Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter
saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.
Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang
ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan
menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati
penyakit.
Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan
dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan
paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan
rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza
mengikut daerah dan desa.
Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan
dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang
dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan
wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan
langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama
lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti
burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan
di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan
"Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai
padi.
Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan
biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik
menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang
serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade
dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba
hitam serta menyendang daun silad kering.
TARIAN ZAPIN
Tarian Zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini
diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin
telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara iaitu di
Semanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana
bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan
Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya
yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya
mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah:
* Tarian Zapin Arab
* Tarian Zapin Johor
* Tarian Zapin Lenga
* Tarian Zapin Pekan
* Tarian Zapin Tenglu
Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha
individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus,
rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat
muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini
disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan
biola.